RAKAN YBK (dahulunya dikenali sebagai Sukarelawan YBK) berperanan sebagai penggerak dalam melaksanakan program dan aktiviti yang bermanfaat kepada masyarakat khususnya kepada kumpulan sasar YBK.

Program-program di bawah Rakan YBK antaranya ialah aktiviti gotong-royong, pemberian bantuan melalui Skuad Kasih YBK (SKY) dan Program Santuni Gelandangan, ejen pemberi maklumat untuk program Sinar Kasih Ramadhan (SKR) dan kemasukan ke Asrama Kasih YBK, di samping program-program secara kolaborasi dengan organisasi luar.

Penglibatan program adalah terbuka kepada umum. Rakan YBK juga bersedia untuk bekerjasama bagi melaksanakan program-program komuniti dan sukarela bersama organisasi yang berminat atas dasar Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Rakan YBK berhasrat menjadi kumpulan rakan strategik yang utuh dalam menggerakkan gagasan YBK sebagai peneraju pembasmian kemiskinan dan membina kesejahteraan di Malaysia.

PROGRAM SANTUNI GELANDANGAN dijalankan selepas solat Subuh pada setiap hari Sabtu di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur. Mula dilaksanakan sejak tahun 2014, objektif program ini adalah untuk menyantuni rakan-rakan jalanan melalui pemberian paket sarapan dan minuman pagi percuma setiap minggu.

Paket sarapan dan minuman ini dimasak dan disediakan sendiri oleh karyawan dan sukarelawan melalui aktiviti DAPUR YBK. Setiap minggu, YBK memerlukan dana sekurang-kurangnya RM 500 untuk melaksanakan Program ini bagi pembelian bahan mentah masakan. Justeru, sumbangan daripada para dermawan adalah sangat dialu-alukan.

Sumbangan layak menerima resit pengecualian cukai pendapatan (berdasarkan permintaan serta tertakluk kepada syarat). Untuk maklumat lanjut lanjut, boleh berhubung dengan En. Asuad Ismail di talian pejabat 03 7875 0036 atau WhatsApp beliau di talian ini.

NOTA: Program Santuni Gelandangan ditangguhkan buat sementara waktu.

PROGRAM DAPUR YBK adalah aktiviti memasak secara gotong-royong bagi menyediakan paket sarapan dan minuman pagi untuk Program Santuni Gelandangan di samping program-program lain. Program ini disertai oleh karyawan YBK dan sukarelawan daripada luar termasuklah kumpulan pelajar IPT, persatuan, dan seumpamanya.

Antara sukarelawan luar yang pernah bersama dalam program ini adalah kumpulan pelajar daripada UPSI, UPM, UiTM, UMK di samping persatuan seperti Badan Amal Kebajikan Anggun (BAKA), Kelab Beliawanis Sri Sepang (KBSS) dan lain-lain lagi.

YBK mengalu-alukan kumpulan sukarelawan, pelajar, agensi dan organisasi untuk bersama-sama dalam aktiviti Dapur YBK dan juga aktiviti-aktiviti YBK bersama masyarakat.

SKUAD KASIH YBK (SKY) adalah untuk mengenal pasti keluarga atau individu yang kurang bernasib baik untuk dibantu. Untuk setiap kes yang diterima, karyawan YBK bersama Sukarelawan akan menjalankan siasatan ke atas keluarga atau individu berkenaan untuk memastikan kesahihan dan kelayakan sebelum ditentukan bentuk bantuan yang bersesuaian.

YBK secara umumnya menawarkan bantuan pendidikan berbentuk tawaran mengikuti program Asrama Kasih YBK Serendah atau Asrama Kasih YBK Gesir, atau latihan vokasional melalui Akademi Kemahiran YBK. Bantuan kewangan dan barangan adalah tertakluk kepada kes-kes tertentu sahaja.

Orang awam boleh melaporkan keberadaan keluarga atau individu yang kurang bernasib baik yang sesuai untuk dibantu di tempat masing-masing dengan menghubungi ibu pejabat YBK di talian 03 7875 0036.

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : +60 (3) 7875 0036
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;