- Hit: 174
SERENDAH, 22 Jun 2024 - Telah berlangsung dengan jayanya Program Kembara Kasih Aidil Adha pada hari ini. Program berlangsung di Asrama Kasih YBK Serendah dan merupakan penganjuran bersama Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Kelab Badan Amal Kebajikan Anggun (BAKA), Bikers Chef Malaysia (BCM), dan Street Glide Owners Malaysia (SGOM).
Persiapan termasuk proses memasak hidangan telah bermula sejak hari sebelumnya (21 Jun) dan diketuai oleh Chef Sabri Hassan dengan dibantu oleh chef daripada Bikers Chef Malaysia. Hari ini merupakan kemuncak program di mana sebanyak 60 buah motosikal berkuasa tinggi hadir ke Asrama. Tarikh 22 Jun ini juga merupakan tarikh Asrama Kasih YBK Serendah mula dibina 32 tahun yang lalu (22 Jun 1992).
Program bermula pada jam 12:30 tengah hari dengan ketibaan konvoi motosikal berkuasa tinggi. Selepas mengambil gambar, hadirin bergerak ke khemah utama untuk mengikuti ucapan, pelancaran program dan sumbangan. Program telah dirasmikan oleh YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom selaku Pengerusi YBK. Turut memberi ucapan adalah YBhg. Datin Dr. Hajah Hartini Osman (Pengerusi Asrama Kasih YBK) dan Chef Sabri Hassan mewakili Bikers Chef Malaysia.
Semasa majlis pelancaran, YBK telah menerima sumbangan daripada Syarikat Faiza Sdn Bhd, yang juga telah menaja bahan-bahan masakan untuk jamuan program ini. Antara tetamu yang hadir adalah Datuk Mohd Isa Kasim (Penyelaras DUN Hulu Bernam), Encik Zainal Mohd Jais dan Dr. Abdul Fatah Haji Khalid (ALPA YBK).
Jamuan bermula selepas selesai majlis pelancaran dan hidangan istimewa yang disediakan adalah Kari Daging Kashmiri, Nasi Mandy, Sup Tulang Istimewa dan Spaghetti Aglio e Olio. Selesai jamuan, anak-anak Asrama Kasih dan hadirin diberi peluang menaiki motosikal berkuasa tinggi dan dibawa meronda ke kawasan kejiranan sekitar Asrama Kasih.
Program berakhir dengan penyampaian sijil penghargaan kepada Bikers Chef Malaysia dan Street Glide Owners Malaysia oleh Dato' Pengerusi YBK, dan diikuti dengan sesi bergambar sebelum bersurai.
Gambar: Facebook Page Yayasan Basmi Kemiskinan