- Hit: 150
SERENDAH, 21 Jun 2024 - Persiapan Program Kembara Kasih Aidil Adha 2024 rancak berjalan sejak pagi lagi di mana acara gotong-royong @ rewang memasak hidangan serta persiapan tempat telah berlangsung di Asrama Kasih YBK Serendah.
Pengerusi Kelab Badan Amal Kebajikan Anggun (BAKA) merangkap Pengerusi Asrama Kasih YBK, YBhg. Datin Dr. Hajah Hartini Osman telah bersama-sama para sukarelawan dan karyawan membantu persiapan program.
Aktiviti gotong-royong memberi fokus kepada penyediaan bahan mentah untuk memasak, proses memasak, dan persiapan tempat. Pengurus Besar YBK, Encik Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz juga telah turun memantau dan membantu.
Proses memasak hidangan telah diketuai oleh Chef Sabri Hassan dengan dibantu oleh chef daripada Bikers Chef Malaysia serta para sukarelawan, karyawan dan anak-anak Asrama Kasih. Antara hidangan istimewa yang bakal dihidangkan pada hari program adalah Kari Daging Kashmiri, Nasi Mandy, Sup Tulang Istimewa, dan pelbagai lagi.
Program Kembara Kasih Aidil Adha 2024 akan berlangsung pada 22 Jun 2024 bermula jam 12 tengahari, dan merupakan anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dengan kerjasama Badan Amal Kebajikan Anggun (BAKA), Bikers Chef Malaysia (BCM), dan Street Glide Owners Malaysia (SGOM).
Objektif program ini adalah untuk menyantuni dan meraikan hampir 200 orang anak-anak Asrama Kasih YBK yang merupakan anak-anak yatim dan miskin. Di samping mengambil peluang sempena Hari Raya Aidil Adha di mana para hadirin akan dijamu dengan hidangan istimewa berasaskan daging korban.
Gambar: Facebook Page Yayasan Basmi Kemiskinan