- Hit: 148
SERENDAH, 28 September 2023 - Sempena Hari Lahir Junjungan Mulia Rasulullah SAW, Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) telah mengadakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1445H - "YBK Berselawat" di Asrama Kasih YBK Serendah.
Majlis ini sangat istimewa kerana menerima kehadiran Tuan Habib Nael Ben Taher iaitu Pimpinan Majlis Rasulullah Malaysia yang telah memimpin qasidah, selawat dan doa sepanjang majlis. Beliau juga telah menyampaikan tausiah kepada hadirin yang mencecah hampir 500 orang.
Majlis bermula selepas solat Maghrib berjemaah. Antara tetamu utama yang hadir adalah YABhg. Tan Sri Muhammad Muhammad Taib (Pengasas YBK merangkap mantan Menteri Besar Selangor); YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom (Pengerusi YBK); YBhg. Datuk Mohd Isa Abu Kasim (Mantan ADUN Batang Kali); Tuan Haji Johari Morad (Pengurus Perhubungan Awam GISB Holdings Sdn Bhd); Tuan Haji Zulhairy Jalaluddin dan Dr. Abdul Fatah Hj Khalid (ALPA YBK); serta YBhg. Datin Dr. Hajah Hartini Osman (Pengerusi Asrama Kasih YBK).
Turut hadir adalah wakil daripada rakan-rakan strategik YBK antaranya GISB Holdingsย Sdnย Bhd, Pertubuhan Badan Amal Kebajikan Anggun (BAKA), Prihatin Ehsan Holdings Sdn Bhd, sukarelawan YBK, pelajar Asrama Kasih YBK Serendah dan Gesir, pelatih Akademi Kemahiran YBk (AKYBK), penduduk setempat dan para karyawan YBK.
Para hadirin mengikuti majlis dengan penuh penghayatan di mana alunan selawat, qasidah dan doa bergema dengan penuh semangat sehingga selesai. Majlis turut dipancarkan secara langsung melalui Facebook Live.