- Hit: 163
HULU LANGAT, 22 Jun 2023 - Bertitik tolak daripada lawatan awal Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) ke Pusat Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SK Dusun Tua Hulu Langat yang menghadapi isu kipas dan lampu yang tidak berfungsi, hari ini kumpulan daripada Akademi Kemahiran YBK (AKYBK) telah turun bagi membantu membaiki pendawaian elektrik di sekolah ini.
Diketuai oleh tenaga pengajar AKYBK Cik Rohaida Ismail, pembaikan telah dilakukan pada jajaran pendawaian elektrik yang menyambungkan lampu dan kipas PPKI ini. Difahamkan aduan telah dilaporkan kepada pihak berwajib namun tiada tindakan, dan ini memberi kesan yang besar kepada anak-anak istimewa ini kerana mereka berisiko bertindak di luar kawalan jika tidak berasa selesa akibat kepanasan.
Hasil daripada pembaikan dan penggantian yang dilaksanakan oleh AKYBK, lampu dan kipas sudah boleh berfungsi seperti sedia kala. Guru-guru PPKI melahirkan ucapan terima kasih kepada kumpulan AKYBK dan YBK yang pantas membantu menyelesaikan isu ini.
Turut hadir meninjau lokasi adalah Encik Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz (Pengurus Besar YBK) dan Puan Norleza Hambali (Pengurus AKYBK).