- Hit: 263
SERDANG, 20 April 2022 - Yayasan Basmi Kemiskinan telah menghadiri Program Imarah Iftar Al-Falah atas jemputan dan anjuran Pengurusan dan Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) Universiti Putra Malaysia (UPM). Program iftar ini diadakan sempena ulang tahun ke-50 UPM, dan juga bagi meraikan anak-anak Asrama Kasih Ybk (ASKA) yang juga turut dijemput.
Pengerusi YBK, YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom dan Pengerusi Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare), YBhg. Datin Dr. Hajah Hartini Osman telah meluangkan masa hadir dan dialu-alukan oleh Pengetua KOSASS, Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad dan para urus setia. Turut serta, Pengurus Besar YBK, En. Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz dan karyawan YBK dan ASKA yang mengiringi.
Dalam majlis ini juga, YBK telah memberi sumbangan kepada 'Food Bank' KOSASS berupa barangan makanan dan minuman untuk mereka yang memerlukan. Pengerusi YBK juga telah memberi tazkirah ringkas kepada para hadirin sebelum berbuka puasa dan disusuli dengan solat Maghrib, Isyak serta Tarawih berjemaah sehingga selesai.
UPM merupakan salah sebuah institusi pengajian tinggi yang telah menjadi rakan strategik YBK sejak dari awal penubuhannya dan kerjasama dengan pihak KOSASS mengukuhkan lagi jaringan ini khususnya dalam bidang pembinaan sahsiah, pendidikan dan program yang melibatkan pembangunan pelajar dan belia.