- Hit: 1514
SG. BESAR, 7 Disember 2017 - Bertempat di Dewan Seri Bernam, Majlis Daerah Sabak Bernam, telah berlangsung Seminar Teknologi Kejayaan Diri dengan Neuro-Linguistic Programming (NLP) yang dirancang oleh Akademi NLP Malaysia bersama Yayasan Basmi Kemiskinan selaku penyelaras. Seminar berlangsung selama setengah hari iaitu bermula pada jam 9 pagi dan selesai pada jam 5 petang.
Seminar ini telah mencatatkan kehadiran hampir 300 orang peserta daripada sekolah-sekolah di daerah Sabak Bernam dan turut disertai oleh pelajar Politeknik Sultan Idris Shah dan Kolej Komuniti Sabak Bernam. Sekolah-sekolah yang menghantar penyertaan antaranya ialah SAM Pasir Panjang, SAM Bagan Terap, SMK Dato' Mustaffa, SMK Bagan Terap, SMK Tengku Ampuan Jemaah Sg. Besar, SMK(A) Tun Rahah, SAM Sg Hj Dorani, SMK Seri Bedena, SMK Sg Besar dan SMK Munshi Abdullah.
Sesi dikelolakan oleh Ketua Jurulatih, En. Zulhairy Jalaluddin dan dibantu oleh saudara Audi Faliq Ibrahim, Ustaz Saiful Akmal, Muhd Afiq Mohd Azman, Tn. Md Ami Dalail dan En. Mohd Khairi Yunos.
Para peserta telah dibawa untuk mengenali apa itu NLP dan bagaimana ia dapat membantu untuk memperkasakan dan membina kejayaan diri. Seminar ini juga telah menerima kehadiran tetamu istimewa iaitu pengasas Akademi NLP Malaysia merangkap Master Trainer NLP, Tuan Haji Md Taib Mat dan Coach Puan Suzana Jaffar. Beliau turut meluangkan masa melaksanakan beberapa 'pattern' NLP dan demonstrasi yang telah mengujakan para peserta.
Sesi diakhiri dengan pertandingan pattern 'State Management', serta nyayian penuh semangat lagu 'Gemuruh' dan 'I Have A Dream'.