- Hit: 1604
Kelana Jaya, 10/11/2004 - Lapan orang personaliti TV akan berganding bahu menjayakan program 1901-YBK Living Skills bagi membantu pelajar-pelajar miskin menguasai bahasa Inggeris. Program yang akan dimulakan tahun depan adalah kerjasama antara 1901 Sdn Bhd (1901) dan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK). Buat permulaan program ini akan diperkenalkan kepada anak-anak Asrama Kasih YBK.
Antara personaliti yang akan turut menjayakan program ini ialah Aznil Nawawi, Suhaimi Sulaiman, Tengku Elida Bustaman, Nizal Mohamad, Kamarul Bahrin Haron, Normala Shamsudin dan juga Ketua Pegawai Eksekutif 1901, Tengku Rozidar Tengku Zainal Abidin. Menurut Tengku Rozidar, program ini bertujuan untuk membantu masyarakat khasnya pelajar-pelajar Melayu lebih menguasai bahasa Inggeris supaya mereka dapat berdikari, berdaya saing dan terus maju setanding pelajar-pelajar bukan Melayu.
Dalam ucapannya, Pengerusi YBK, Dato Haji Zainal Abidin Sakom berkata, program ini adalah selaras dengan salah satu objektif YBK yang menekankan bidang pendidikan. Beliau juga berharap program yang akan disertai oleh personaliti-personaliti ini akan dapat memberi inspirasi kepada anak-anak Asrama Kasih ini supaya terus maju dalam pelajaran dan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik lagi. Pada majlis sidang media ini juga, Tengku Rozidar mengumumkan biasiswa kepada empat pelajar cemerlang YBK berjumlah RM1200 setahun selama 2 tahun