- Hit: 1677
Sabak Bernam, 3/10/2002 - Peserta kursus dari 25 negara yang sedang mengikuti kursus dibawah Program Kerjasama Teknik Malaysia (PKTM) Localising the Anti-Poverty Agenda: the Malaysian Experience anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA) Kementerian Pembangunan Luar Bandar kagum apabila diberitahu bantuan rumah kepada peserta-peserta PPRT yang mendiami Desa Kasih diberi bantuan rumah secara percuma tanpa sebarang bayaran. Peserta-peserta Desa Kasih hanya perlu membayar sebanyak RM290 sahaja sebagai bayaran cagaran bekalan elektrik dan air ke rumah yang diperuntukan kepada mereka.
Peserta kursus dari negara-negara seperti Ghana, Oman, Sudan, Jordan, Mauritius, Filipina, India, Mesir, Pakistan, Zambia, Bangladesh, Suriname, Tajikistan, Myanmar, Kazakhstan, Kiribati, Kemboja, Maldives, Chile, Mongolia, Iraq, Papua New Guinea dan Timur Timor dibawa mengadakan lawatan singkat ke Desa Kasih Merbau Berdarah di sini hari ini. Tujuan lawatan tersebut ialah selain daripada perbincangan, perkongsian pengalaman dan percambahan fikiran dalam isu-isu berkaitan strategi pembasmian Kemiskinan yang diamalkan di negara ini, ianya bagi memberi keyakinan kepada peserta kursus dengan melihat sendiri perlaksanaan program / projek / aktiviti yang dilaksanakan di negara ini.
Taklimat ringkas berkiatan perlaksanaan projek Desa Kasih disampaikan oleh Encik Khizam Salleh - Eksekutif Multimedia YBK telah menarik minat kebanyakan peserta untuk mengetahui perlaksanaan projek Desa Kasih secara lebih mendalam. Menurut mereka sepatutnya peserta-peserta yang dipilih mendiami Desa Kasih dikenakan bayaran minima bagi menunjukan komitmen peserta-peserta tersebut kepada bantuan yang diberikan.
Peserta-peserta rombongan kemudiannya dibawa melawat ke persekitaran kawasan Desa Kasih dan ke bengkel jahitan sebelum mengakhiri lawatan dengan beramah mesra bersama penduduk yang menyambut kedatangan mereka.