- Hit: 1702
Kuala Selangor, 9/3/2001 - satu projek perintis tanaman bunga orkid kini dilaksanakan Desa Kasih Sungai Kajang di Tanjung Karang secara berkelompok. Projek yang dianggarkan bernilai RM5000 itu telah disumbangkan oleh Jabatan Pertanian Daerah Kuala Selangor dengan kerjasama Pejabat Derah Kuala Selangor dijangkaΒ mampu memberi pendapatan sampingan kepada kira-kira 5 peserta dengan tambahan pendapatan diantara RM100 β RM150 sebulan. Projek tersebut yang kini memuatkan 350 pasu tanaman orkid akan diperbesarkan sekiranya peserta-peserta yang melaksanakan projek tersebut telah benar-benar mahir dalam menjaga dan mengawalselia tanaman orkid tersebut dimasa akan datang.
Menurut Pembantu Pertanian Daerah Kuala Selangor yang ditugaskan melaksanakan projek berkenaan, masalah pemasaran bagi bunga-bunga orkid tersebut kini tidak lagi menjadi masalah besar yang ditakuti oleh pengusaha orkid kerana permintaan bunga orkid adalah tinggi terutamanya di sekitar Lembah Klang seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Klang. Bunga orkid dari Desa kasih Sungai Kajang ini dibeli secara borong oleh peraih dari Tanjung Karang yang telah mempunyai pelanggan tetap yang terdiri daripada kedai-kedai menjual bunga dari sekitar Kuala Lumpur. Selain daripada membeli bunga dari desa kasih Sungai Kajang, peraih tersebut juga mendapatkan beklalan daripada pengusaha-pengusaha orkid seperti di Kampung Jaya Setia dan juga Batang Berjuntai.
Penjagaan tanaman orkid pula tidak begitu merumitkan kecuali diperingkat permulaan tanaman peserta yang terlibat dalam perusahaan ini perlu diberi tunjukajar oleh Jabatan Pertanian kaedah tanaman dan penjagaan yang lebih teliti bagi memastikan tanaman orkid tersebut dapat tumbuh dengan segar serta terhindar daripada serangan serangga perosak. Walau bagaimanapun, setelah tanaman orkid tersebut tumbuh ianya hanya perlu disiram dua kali sehari pada sebelah pagi dan petang dan diawasi daripada serangga perosak dengan menyembur racun anti-serangga.
Sekiranya projek ini berjaya, ianya akan menjadi salah satu projek peningkatan ekonomi daripada beberapa projek yang dirancang oleh agensi-agensi kerajaan yang akan dilaksanakan di Desa kasih Sungai Kajang sebagai usaha mempertingkatkan pendapatan peserta-peserta.Β