KELANA JAYA, 28 Mac 2025 – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dengan rasa syukur dan bangga telah menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-35 pada 26 Mac 2025. Sejak ditubuhkan pada 26 Mac 1990, YBK telah menjadi organisasi yang dikenali sebagai peneraju dalam usaha membasmi kemiskinan dan memperkasakan masyarakat Malaysia melalui pelbagai program inovatif.

2. Di bawah kepimpinan YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Haji Sakom, Pengerusi YBK sejak hari pertama penubuhan yayasan ini, YBK telah berkembang pesat sebagai sebuah NGO yang memberi fokus kepada pembasmian kemiskinan melalui pendidikan. Pengalaman Dato’ Zainal sebagai ahli politik, aktivis masyarakat, dan figura yang dikenali ramai telah menjadi teras dalam membentuk yayasan ini sebagai organisasi yang berdedikasi kepada golongan kurang berkemampuan.

3. Sebagai NGO berteraskan pendidikan, YBK telah memperkenalkan beberapa inisiatif penting yang memberi manfaat kepada golongan miskin, termasuk anak-anak yatim dan golongan muda. Antara pencapaian utama YBK ialah penubuhan Asrama Kasih YBK, sebuah kemudahan khas untuk anak yatim miskin yang menyediakan ruang selamat dan kondusif untuk mereka belajar dan membesar. Selain itu, YBK turut mengoperasikan Akademi Kemahiran YBK dan Pusat Latihan YBK, yang berfungsi sebagai pusat pendidikan kemahiran untuk melatih golongan muda dalam bidang teknikal dan vokasional, meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan.

4. Tidak ketinggalan, YBK juga memiliki YBK Global Camp, sebuah kem latihan yang disediakan sebagai platform kepada organisasi yang memerlukan kem latihan yang komprehensif bagi melaksanakan program kepimpinan, ikhtiar hidup, dan pelbagai lagi. Semua inisiatif ini adalah bukti komitmen YBK dalam memastikan pendidikan menjadi pemacu perubahan sosial, sekaligus membebaskan individu daripada belenggu kemiskinan.

5. YBK turut melaksanakan pelbagai program sosial dan ekonomi termasuk Program Sinar Kasih Ramadhan, di mana bantuan berbuka dan bersahur disediakan kepada keluarga miskin tegar setiap tahun. Yayasan ini juga bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, syarikat korporat, NGO lain, dan sukarelawan untuk memastikan setiap program dilaksanakan dengan berkesan.

6. Ketokohan Dato’ Zainal Abidin Sakom adalah faktor utama yang menjadikan YBK sebagai organisasi yang dipercayai dan disegani. Beliau telah menggunakan pengalaman luasnya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu kemiskinan, sekaligus mendorong lebih ramai pihak untuk tampil memberi sokongan. Kepimpinan beliau sentiasa berasaskan integriti, ketelusan, dan pendekatan holistik yang memastikan setiap usaha YBK memberi impak berkekalan kepada penerima bantuan.

7. YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom menyatakan komitmen beliau untuk memastikan YBK kekal relevan dan berdaya saing dalam melaksanakan program-program pembasmian kemiskinan. Beliau menegaskan bahawa YBK harus terus beradaptasi dengan perubahan suasana dan perkembangan teknologi untuk meningkatkan keberkesanan program-programnya. Tambahan pula, beliau mengalu-alukan kerjasama dengan semua pihak—termasuk agensi kerajaan, syarikat korporat, NGO lain, dan individu—agar usaha membasmi kemiskinan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan. "Dengan kerjasama dan semangat yang padu, kita mampu membina masa depan yang lebih sejahtera untuk semua, selari dengan prinsip Malaysia MADANI" kata beliau.

8. Sebagai pengiktirafan terhadap usaha gigih dan ketelusan YBK dalam menjalankan misinya, yayasan ini telah diiktiraf sebagai NGO yang mencapai skor ketelusan 100% dalam kajian oleh Wiki Impact bertajuk Transparency Score of Malaysia's Foundation 2023. Pengiktirafan ini menjadi bukti komitmen YBK terhadap integriti dan akauntabiliti dalam setiap program yang dilaksanakan.

9. Dengan kejayaan selama 35 tahun, YBK berazam untuk terus memperluaskan inisiatif pembasmian kemiskinan di era moden yang semakin mencabar ini. Yayasan ini kekal komited untuk menjadi pemacu perubahan sosial yang positif, memperkasakan individu dengan ilmu, kemahiran, dan peluang agar mereka mampu membina kehidupan yang lebih baik.

10. Ulang tahun ke-35 ini adalah tanda kejayaan hasil usaha kolektif yang tidak kenal jemu. YBK mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan selama ini dan berharap agar kerjasama ini akan terus berkembang pada masa hadapan. Di bawah kepimpinan YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom, YBK optimis untuk terus mencipta impak yang bermakna kepada masyarakat Malaysia.

Sekian.

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : +60 (3) 7875 0036
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial rasmi ;