- Hit: 198
KELANA JAYA, 2 Mei 2024 - Telah berlangsung Majlis Pelancaran Program Korban Perdana 2024 dan menanda tangan Memorandum Persefahaman antara Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Ukhuwah Tijarah Sdn Bhd (UTSB), dan Majlis Belia Malaysia (MBM).
Tahun ini merupakan kali ke-2 kerjasama YBK dan UTSB untuk melaksanakan program korban, dan pada tahun ini MBM turut bersama YBK dan UTSB dalam program ini dengan tumpuan khusus diberikan kepada golongan belia.
Pengerusi YBK, YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom telah menandatangan MoU mewakili YBK, manakala UTSB diwakili oleh Encik Ahmad Luqmanul Hakim Noor Azman (Ketua Pegawai Eksekutif UTSB) manakala MBM diwakili oleh Encik Mohd Izzat Afifi Hj Abd Hamid selaku Presiden.
Dalam ucapannya, YBhg. Dato' Zainal mengalu-alukan kebersamaan MBM dalam program ini sebagai satu strategi untuk menarik golongan belia menyertai ibadah korban. Beliau juga memuji UTSB yang telah melaksanakan program ini dengan lancar pada tahun sebelumnya, dan berharap dapat dikekalkan momentumnya untuk tahun ini, selain menyeru mereka yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban sebagai tanda syukur kepada Allah SWT yang telah memberikan nikmat hidup dan rezeki.
Untuk tahun ini, YBK menyasarkan penyertaan sebanyak 350 bahagian (50 ekor) lembu. Kelebihan program ini adalah kos pelaksanaan yang tidak membebankan, di samping laporan yang telus serta tersusun oleh pihak UTSB. Penyertaan dibuka sehingga 7 Jun 2024 iaitu seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha.
Perincian dan kaedah penyertaan akan diperincikan dalam masa terdekat melalui media sosial dan laman web rasmi YBK.
Gambar: Facebook Page Yayasan Basmi Kemiskinan