- Hit: 219
KELANA JAYA, 24 April 2024 - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) hari ini telah mengadakan Majlis Silaturahim Aidilfitri 2024 merangkap rumah terbuka di Rumah YBK Kelana Jaya.
Majlis yang bermula pada jam 12 tengah hari telah dihadiri oleh lebih 200 orang tetamu yang terdiri daripada rakan-rakan strategik, sukarelawan, rakan media, karyawan dan mantan karyawan, serta kejiranan. Majlis turut menerima kehadiran mahasiswa daripada Universitas Andalas Indonesia.
Turut hadir, YABhg. Tan Sri Muhammad Muhammad Taib (Pengasas YBK) dan isteri; YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom (Pengerusi YBK) dan isteri; juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah iaitu Encik Zulhairy Jalaluddin, Dr. Abdul Fatah Haji Khalid, Encik Zainal Mohd Jais, Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad dan Ustaz Mohd Faisal Tan Mutallib. Tetamu telah dijamu dengan hidangan-hidangan istimewa yang disediakan oleh Dapur YBK.
YBhg. Dato' Pengerusi dalam ucapan ringkasnya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada rakan-rakan strategik dan kenalan YBK yang hadir. Beliau menyatakan majlis seperti ini adalah peluang untuk kita mengukuhkan silaturahim yang terjalin dan meneroka peluang-peluang baharu.
Antara rakan-rakan strategik yang hadir adalah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang dihadiri oleh Toqqi (Ketua Aktivis) dan pegawainya; Kumpulan Media Karangkraf yang diwakili oleh Dato' Hashim Anang (Pengurus Tugas-Tugas Khas); Benevolent Malaysia, Yayasan Islam Darul Ehsan - YIDE, Lembaga Zakat Selangor, Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC), dan ramai lagi.
Gambar: Facebook Page Yayasan Basmi Kemiskinan