SUNGAI BESAR, 2 April 2024 - Serahan sumbangan Sinar Kasih Ramadhan (SKR) 2024 daripada Prihatin Ehsan Holdings Sdn. Bhd. telah disampaikan oleh YBhg. Datin Dr. Hajah Hartini Osman (Pengerusi Program SKR) kepada 4 buah keluarga di Desa Kasih Merbau Berdarah. Turut bersama dalam sesi penyerahan ialah Puan Rozita Abdullah (sukarelawan YBK), Puan Salasiah (Tok Sidang Parit 16), dan Puan Norleza Hambali (Pengurus Pentadbiran dan Pendidikan YBK).

Penerima sumbangan adalah seperti berikut;


Ziarah Sinar Kasih Ramadhan Di Desa Kasih Merbau Berdarah telah mempertemukan Datin Dr. Hajah Hartini Osman dengan Puan Siti Nurhidayah binti Abd. Ghani (40 tahun). Puan Nurhidayah baru sahaja kehilangan suami tercinta sehari sebelum Ramadan baru-baru ini akibat serangan jantung. Beliau kini menggalas tanggungjawab membesarkan 5 orang anaknya. 4 daripada anak-anaknya masih bersekolah manakala yang bongsu berusia sekitar 2 tahun. Turut tinggal bersama beliau ialah ibu mertua beliau. Hadir sama dalam ziarah ini ialah Puan Rozita Abdullah, sukarelawan YBK bersama Puan Salasiah, Tok Sidang Parit 16.


Ziarah Program Sinar Kasih Ramadhan (SKR) pada hari ini juga telah berkunjung ke rumah Puan Azura binti Baharin. Beliau merupakan seorang ibu tunggal yang membesarkan 5 orang anaknya yang masih bersekolah dengan bekerja sebagai pekerja am (cleaner) di sebuah sekolah. Beliau tinggal menyewa di sebuah rumah kecil dengan kadar sewaan RM300 sebulan. Beliau setakat ini tidak memperolehi sebarang bantuan daripada mana-mana agensi. Sumbangan Sinar Kasih Ramadhan YBK daripada Prihatin Ehsan Holdings Sdn Bhd telah disampaikan oleh Datin Dr.Hajah Hartini Osman, Pengerusi Program SKR 2024. Turut hadir sama dalam ziarah ini ialah Puan Rozita Abdullah, sukarelawan YBK dan Puan Salasiah, Tok Sidang Parit 16.


Sumbangan Sinar Kasih Ramadhan YBK (SKR) daripada Prihatin Ehsan Holdings Sdn Bhd telah diserahkan oleh Datin Hajah Hartini Osman kepada adik Muhammad Adam Haikal Abdullah, anak kepada Encik Kamarul Khalidi. Ketika ziarah SKR 2024 dilakukan, Encik Kamarul telah keluar bekerja manakala isterinya juga tiada di rumah. Keluarga ini memiliki 7 orang anak di mana 6 daripadanya masih bersekolah dan seorang masih kecil.


Pada tanggal 11 Mac 2024, Puan Robaeyah Bahrin yang sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Sek. Menengah Agama Bagan Terap telah mengalami stroke sebelah badan.  Semenjak itu, beliau tidak berupaya lagi mengurus diri mahupun anak-anaknya. Beliau memiliki 3 orang anak. 2 orang masih bersekolah. Buat masa ini, beliau dibantu dan diurus oleh anak remaja sulung beliau. Puan Robaeyah telah menerima sumbangan Sinar Kasih Ramadhan YBK (SKR) yang telah disampaikan oleh Datin Dr. Hajah Hartini Osman. Sumbangan adalah daripada Prihatin Ehsan Holdings Sdn Bhd. Turut hadir sama dalam ziarah ini adalah Puan Rozita Abdullah, sukarelawan YBK dan Puan Salasiah, Tok Sidang Parit 16.

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : +60 (3) 7875 0036
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;