- Hit: 129
SUMATRA BARAT (INDONESIA), 4-8 Januari 2024 - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) telah menyertai program Kembara Alumni Surau Mendunia - Edisi Pimpinan NGO. Berkonsepkan lawatan sambil belajar, program yang dikoordinasikan oleh Benevolent Malaysia ini turut disertai pimpinan wakil-wakil NGO, antaranya dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia, GISB Holdings Sdn. Bhd. , Yayasan Bina Kesejahteraan, GAPENA, IKRAM negeri Melaka dan QHS Academy.
Program selama 5 hari 4 malam ini bertujuan untuk menelusuri dan meneladani sejarah hidup dan perjuangan tokoh-tokoh 'alumni surau' di Sumatra khususnya di tanah Minang yang telah menjadi ulama serta ikon ulung Republik Indonesia, antaranya Almarhum Prof. Haji Abdul Karim Amrullah (HAMKA), dan ramai lagi, di samping bersilaturahim dan mengenal adat dan budaya masyarakat Minang.
Delegasi YBK diketuai oleh YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom (Pengerusi YBK), YBhg. Datin Dr. Hajah Hartini Osman (Pengerusi Yayasan Bina Kesejahteraan - YBCare), Encik Zulhairy Jalaluddin (ALPA YBK), Encik Zainal Mohd Jais (ALPA YBK merangkap Setiausaha Agung GAPENA), Encik Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz (Pengurus Besar YBK), Puan Halimaton Saadiah (Pengetua Asrama Kasih Serendah YBK), dan Cik Rohaida Ismail (Pengajar di Akademi Kemahiran YBK).
Antara tempat-tempat yang dilawati dan diteladani sepanjang 5 hari adalah sekitar Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau, Nagari Koto Gadang, kediaman Sheikh Ahmad Khatib Al Minangkabawi (ulama besar Mekah), Masjid Hatta, Museum Rahmah El Yunusiyyah, Desa Nagari Tuo Pariangan, Bika Talago, Muzium Kelahiran Buya HAMKA, Rumah Puisi Taufiq Ismail, Perkampungan Pandai Sikek Padang, dan pelbagai lagi.
YBK dan rombongan juga turut mengadakan kunjung hormat bertemu Yth. Buya Mahyeldi Ansharullah (Gabenor Sumatera Barat), Wali Kota Daerah Kota Bandar Padang, Pondok Pasantren Sumatera Thawalib, Parabek Bukit Tinggi, dan pimpinan Muhammadiyah di Desa Tanjung Sani, Danau Meninjau. Di beberapa lokasi kunjung hormat, YBK turut memberikan sumbangan dan cenderamata.
Rehlah selama 5 hari ini telah memberikan pengalaman dan ilmu baharu kepada para peserta, khususnya dalam meneladani sejarah hidup dan pengorbanan ulama-ulama Nusantara dalam dakwah Islam serta menyemai semangat cinta akan budaya, bangsa dan tanah air.