- Hit: 124
PATTANI (THAILAND), 24 Disember 2023 - Delegasi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) telah meluangkan masa menziarahi beberapa lokasi berkaitan sejarah dan masyarakat Islam di Wilayah Pattani.
Lokasi pertama adalah Masjid Besar Pattani. Menurut sumber, masjid ini merupakan masjid utama untuk penduduk wilayah Pattani, dan dibina pada tahun 1954 dan dirasmikan pada tahun 1963.
Kemudian YBK bergerak ke lokasi Masjid Kerisik. Juga dikenali dengan nama 'Krue Se Mosque' , keunikan masjid ini adalah ia merupakan masjid pertama di Asia Tenggara yang dibina menggunakan bata merah buatan kampung, dan bata-bata ini diikat dengan menggunakan campuran kulit kerang, beras pulut hitam dan putih telur.
Juga menjadi lokasi ziarah adalah Telaga Syeikh Daud al-Fatani yang terletak di Kampung Parit Marhum, Kerisik (Ban Krue Se). Kampung ini merupakan tempat kelahiran Almarhum Al-Arif Billah Syeikh Daud al-Fatani, salah seorang Ulama Alam Melayu/Nusantara yang tersohor.
Turut dilawati adalah Pasar Segar Perbandaran Pattani, di mana suasananya seumpama Pasar Besar Siti Khadijah di negeri Kelantan, dengan golongan wanita Islam majoritinya menjadi peniaga di situ.