- Hit: 150
HULU LANGAT, 30 September 2023 - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) telah mengadakan Jelajah Sejuta Harapan YBK 33 Tahun bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Taman Sri Nanding, Hulu Langat.
Bertempat di Dewan Komuniti Taman Sri Nanding, YBK telah membuka kaunter pameran untuk para pengunjung mendapatkan maklumat berkenaan produk-produk YBK. Karyawan Jabatan Pendidikan YBK iaitu Puan Norleza Hambali (Pengurus Pendidikan), Ustaz Syaiful Akmal Addanan (Timbalan Pengetua Asrama Kasih YBK) dan Puan Nurfadilah Ibrahim (Ketua Bahagian Latihan AKYBK) telah melayani kehadiran dan pertanyaan pengunjung.
Terdapat juga 'YBK Free Market' di mana pakaian dan pek makanan segera percuma telah diedarkan kepada pengunjung yang berminat. Di sebelah luar dewan, YBK telah mengedarkan pek sarapan pagi dan minuman percuma kepada para pengunjung yang hadir.
Program Sambutan Hari Kebangsaan 2023 ini merupakan anjuran Persatuan Penduduk Taman Sri Nanding di mana Pengurus Besar YBK, Encik Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz merupakan Yang Di Pertua Persatuan Penduduk, dan telah dirasmikan oleh Datuk Wira Haji Johan Abd Aziz, ADUN Dusun Tua.
Aktiviti yang dijalankan antaranya permainan, pameran dan demonstrasi daripada agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela.