KELANA JAYA, 23 Ogos 2023 - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dengan kerjasama Benevolent Malaysia telah melaksanakan Sidang Meja Bulat (Roundtable Discussion - RTD) bertajuk 'Menoktahkan Kemiskinan - Peranan Sektor Ketiga' di Ibu Pejabat YBK.

RTD ini telah menerima penyertaan lebih 40 orang peserta daripada pelbagai agensi, organisasi dan NGO. Antara organisasi yang hadir adalah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, GISB Holdings Sdn. Bhd. , Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Lembaga Zakat Selangor, Yayasan Wilayah Persekutuan, Yayasan Tenaga Nasional dan ramai lagi.

Turut hadir adalah ahli akademik ulung dan pakar rujuk antaranya Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal bin Wan Ismail daripada Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan selaku pembentang utama dan fasilitator, Prof. Emeritus Chamhuri Siwar, Prof. Emeritus Dr. Mohd Fauzi Jani, dan beberapa tokoh lagi.

Bersama dalam sidang ini juga adalah YBhg. Datin Dr. Hajah Hartini Osman (Pengerusi Yayasan Bina Kesejahteraan), Tuan Haji Zulhairy Jalaluddin dan Encik Zainal Mohd Jais (ALPA YBK), Dato' Nadzim Johan (PPIM), Tuan Hj Nasiruddin Mohd Ali (Pengerusi Eksekutif GISBH), Tuan Kuan Chee Heng (Uncle Kentang), dan ramai lagi.

Sidang bermula jam 10 pagi dengan sesi suai kenal yang dikendalikan oleh Encik Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz (Pengurus Besar YBK) dan bacaan doa oleh Ustaz Syaiful Akmal Addanan (Timbalan Pengetua Asrama Kasih YBK). Ini disusuli dengan ucapan aluan daripada YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom (Pengerusi YBK), taklimat perjalanan program oleh Encik Muhamad Hanapi Jamaludin (Pengasas Benevolent) dan pembentangan oleh Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal berkenaan situasi semasa kemiskinan di Malaysia.

Dalam perkongsian beliau, Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal memberi pencerahan berkenaan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) baharu, definisi miskin dan miskin tegar, dan dapatan kajian beliau berkenaan situasi kemiskinan di Malaysia.

Selesai pembentangan, peserta dibahagikan kepada empat kumpulan untuk perbincangan penyediaan resolusi mengikut empat tema yang telah ditetapkan iaitu Sinergi Pemegang Taruh dalam Agenda Menoktahkan Kemiskinan; Peranan Pemegang Taruh dalam Kelestarian Impak; Peranan Sektor Ketiga sebagai Rakan Kongsi Kerajaan; dan Inisiatif Berteraskan Data - Perkongsian Pintar Kerajaan dan Sektor Ketiga.

Sebanyak 11 resolusi yang telah dimurnikan berjaya dihasilkan oleh para peserta dan dimaklumkan dalam sidang media yang berlangsung pada jam 2 petang. Turut dimaklumkan bahawa RTD ini merupakan langkah pertama untuk menuju Konvensyen Menoktah Kemiskinan yang akan diadakan pada bulan Oktober nanti sempena Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa.

YBK dan Benevolent melahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para peserta dari pelbagai latar organisasi, agensi dan NGO yang telah meluangkan masa menyumbang idea dalam RTD ini.

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : +60 (3) 7875 0036
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;