- Hit: 212
BOGOR (INDONESIA), 18 Ogos 2023 - Lawatan kerja Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) hari ini berfokus kepada lokasi industri desa (cottage industries) iaitu produk-produk yang dihasilkan oleh penduduk desa untuk dipasarkan kepada pihak ketiga. Untuk hari ini, YBK telah berkunjung ke lokasi pembuatan aneka jenis beg.
Lokasi yang disebutkan bernama Desa Bojong Rangkas yang terletak di Kecamatan Ciampea, Kabupaten Bogor. Delegasi YBK yang diketuai oleh YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom (Pengerusi YBK) telah disambut oleh Bapak Wahyuddin yang merupakan ketua kepada projek pembuatan beg di desa ini.
YBK difahamkan desa ini boleh menghasil pelbagai jenis beg menggunakan pelbagai jenis material mengikut kehendak pelanggan. Antara contoh produk yang telah ditunjukkan kepada YBK adalah beg sekolah, beg tangan, beg dokumen, beg sandang (sling bag) dan pelbagai lagi. Desa ini menerima tempahan daripada pengusaha luar , yang kebiasaannya menempah dengan kuantiti yang banyak.
Penduduk kampung bertindak sebagai pekerja yang menghasilkan produk beg dan secara purata desa ini mampu menghasilkan kira-kira 5,000 buah beg setiap hari mengikut kekuatan tenaga kerja yang ada. Material yang digunakan untuk penghasilan beg boleh dipilih mengikut keperluan pelanggan.
YBK melalui Koperasi Kasih YBK menyatakan minat untuk bekerjasama dengan lebih lanjut berkenaan potensi beg-beg industri desa ini untuk dipasarkan di Malaysia, dengan kelebihan daripada segi kos dan kualitinya yang kompetitif.