- Hit: 160
BOGOR (INDONESIA), 19 Ogos 2023 - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) telah melawat Kampung Tari Kolot yang terletak di Kecamatan Citeureup, Bogor yang terkenal dengan penghasilan barangan berasaskan logam.
Delegasi YBK yang diketuai oleh YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom (Pengerusi YBK) telah disambut dan diraikan sebagai tetamu kehormat oleh YBrs. Bapak Wawan Kuriawan (Kepala Desa @ Ketua Kampung Tari Kolot).
Bapak Wawan dalam ucapan aluannya berkata industri pembuatan barangan logam di kampung ini telah berlangsung sejak zaman penjajahan lagi, dan telah maju ke hadapan dengan pemasaran secara dalam talian dengan bantuan Pos Indonesia yang telah mewujudkan komuniti 'Kampung Online' di sini.
Dato' Zainal dalam ucapannya berkata beliau kagum dengan kesungguhan Kampung Tari Kolot ini membangunkan industri pembuatan barangan logam serta mengadaptasi platform internet bagi memasarkan produk-produk mereka.
Selesai majlis sambutan, delegasi YBK kemudiannya bergerak ke bengkel pembuatan logam. Antara contoh barangan yang telah ditunjukkan adalah ketuhar (oven), pengadun bahan (mixer), bekas/acuan kuih dan pelbagai lagi.