- Hit: 197
HULU LANGAT, 23 Mac 2023 - Serahan sumbangan Sinar Kasih Ramadhan (SKR) 2023 daripada YBhg. Dato' Haji Zainudin, Major Transglobal Sdn. Bhd. , Pn. Asiah Abu Bakar sekeluarga, Pn. Noraini Ismail, dan hamba Allah telah disampaikan oleh Encik Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz (Pengurus Besar YBK) dan Encik Audi Faliq Ibrahim (Pengurus Media & Perhubungan Awam YBK) kepada 5 buah keluarga di kawasan Hulu Langat.
Penerima sumbangan adalah seperti berikut;
SEMENYIH (HULU LANGAT), 23 Mac 2023 - Pn. Noraini adalah seorang ibu tunggal yang menyara keluarga dengan mengambil upah sebagai pengasuh. Ketika kami sampai di kediaman beliau di Kampung Sungai Purun kawasan Bangi Lama, anak-anak yang diasuh beliau ada bersama.
Pendapatan daripada mengasuh anak-anak ini tidaklah seberapa iaitu sekitar RM 300 sebulan. Beliau dan anak-anak tinggal menyewa dan sebahagian kos sewa (RM 800) adalah ditanggung oleh Lembaga Zakat. Difahamkan beliau tidak berapa sihat di bahagian paru-paru, dan dua daripada tiga orang anak yang tinggal bersamanya masih bersekolah di peringkat rendah dan menengah.
Sumbangan Sinar Kasih Ramadhan 2023 adalah daripada Pn. Noraini Ismail dan telah disampaikan oleh En. Audi Faliq Ibrahim , Pengurus Media & Perhubungan Awam Yayasan Basmi Kemiskinan . Keluarga ini juga menerima barangan sumbangan Dutch Lady Malaysia .
BERANANG (HULU LANGAT), 23 Mac 2023 - Selepas diserang penyakit strok sehingga tidak mampu bergerak dan mengurus diri, En. Shamsul Kamal tidak lagi boleh bekerja. Beliau cuba untuk memohon pampasan ilat daripada PERKESO, tetapi diberitahu bahawa majikannya tidak pernah mencarum walaupun diberitahu caruman dibuat bekas majikannya setiap bulan. Dalam erti kata lain, beliau telah ditipu oleh bekas majikannya.
Pn. Widiawati iaitu isteri beliau merupakan suri rumah dan agak gusar apabila terputus pendapatan dan gagal mendapat pampasan ilat. Mujurlah beliau dibantu serba sedikit oleh adik-beradiknya, dan telah mendapat bantuan Lembaga Zakat Selangor yang sebahagiannya digunakan untuk membayar sewa rumah yang didiami mereka sekeluarga.
Pasangan ini memiliki 3 orang anak yang masih bersekolah; dua di sekolah menengah dan yang bongsu di sekolah rendah. Ketika kami hadir, difahamkan En. Shamsul sudah mula boleh bergerak dan mengurus diri namun masih belum kuat untuk mencari rezeki.
Sumbangan Sinar Kasih Ramadhan 2023 adalah daripada YBhg. Dato' Haji Zainuddin dan telah disampaikan oleh En. Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz , Pengurus Besar Yayasan Basmi Kemiskinan . Keluarga ini juga menerima barangan sumbangan Dutch Lady Malaysia .
KAJANG (HULU LANGAT), 23 Mac 2023 - En. Sudi bin Daut dahulunya bekerja dengan sebuah kilang syarikat elektronik ternama di Bangi, namun kini tidak bekerja kerana uzur penyakit buah pinggang yang memerlukan beliau mendapatkan rawatan dialisis sebanyak 3 kali seminggu. Beliau menerima pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan daripada wang ini beliau gunakan untuk mengurus keluarga.
Isteri beliau, Pn. Nik Rohaya pula menghidap penyakit saraf yang kadang kala mengganggu rutin harian. Untuk menampung kos hidup keluarganya, beliau kadang-kala membuat kuih untuk dijual di gerai berhampiran, namun untuk bulan Ramadhan ini, difahamkan kuih beliau tiada permintaan. Pendapatan membuat kuih dan dijual ini sangatlah kecil, dengan anggaran RM 50 sehari jika ada permintaan.
Pasangan ini tinggal bersama empat orang anak di mana tiga daripadanya masih menuntut di sekolah. Anak sulung pasangan ini baru sahaja mula bekerja di kedai barangan dua ringgit dengan gaji yang tidak seberapa.
Sumbangan Sinar Kasih Ramadhan 2023 adalah daripada Pn. Asiah Abu Bakar sekeluarga dan telah disampaikan oleh En. Audi Faliq Ibrahim , Pengurus Media & Perhubungan Awam Yayasan Basmi Kemiskinan . Keluarga ini juga menerima barangan sumbangan Dutch Lady Malaysia .
BERANANG (HULU LANGAT), 23 Mac 2023 - En. Zulhelmi tidak berupaya untuk bekerja kerana menghidap sakit jantung dan darah tinggi, dan perlu hadir pemeriksaan di hospital secara rutin.
Isteri beliau Pn. Siti Normah telah mengambil alih tugas mencari pendapatan sebagai pekerja sambilan di sebuah perniagaan penyediaan makanan (catering). Pendapatan yang diperoleh tidak menentu iaitu sekitar RM 500 sebulan kerana bergantung kepada permintaan, dan Pn. Normah sendiri juga menghidap sakit di bahagian otak, disyaki akibat tumor/ketumbuhan.
Keluarga ini tinggal menyewa dengan bayaran RM600 yang ditanggung oleh Lembaga Zakat Selangor . Selain itu, bantuan lain yang diterima ialah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor iaitu bantuan untuk anak. Pasangan ini memiliki 5 orang anak dan salah seorang daripadanya adalah OKU ketidakupayaan intelektual.
Sumbangan Sinar Kasih Ramadhan 2023 adalah daripada YBhg. Dato' Haji Zainuddin dan telah disampaikan oleh En. Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz, Pengurus Besar Yayasan Basmi Kemiskinan . Keluarga ini juga menerima barangan sumbangan Dutch Lady Malaysia .
KAJANG, 23 Mac 2023 - Pn. Azizah Jaafar sebelum ini mencari rezeki dengan menjual nasi lemak dengan pendapatan sekitar RM 200 sebulan, tetapi kini telah bertukar kerjaya menjadi ejen jualan mesin penapis air dan ketika lawatan kami, beliau sedang menjalani kursus.
Beliau dan anak-anak tinggal di rumah dengan sewa RM 1,200 sebulan. Beliau tidak mampu membayar sewa akibat pendapatan yang tidak cukup, mujur tuan rumahnya telah memberi ehsan dan meminta beliau membayar sekadar termampu.
Seorang ibu tunggal sebelum ini, tetapi Pn. Azizah telah berkahwin semula. Beliau menanggung 9 orang anak, 7 orang masih lagi belajar di peringkat pengajian tinggi serta sekolah. Difahamkan keluarga ini tidak mendapat serta memohon bantuan daripada mana-mana agensi.
Sumbangan Sinar Kasih Ramadhan 2023 telah disampaikan oleh En. Audi Faliq Ibrahim, Pengurus Media & Perhubungan Awam Yayasan Basmi Kemiskinan.