- Hit: 206
HULU SELANGOR, 21 Mac 2023 – YAYASAN BASMI KEMISKINAN (YBK) hari ini melaksanakan Program Ziarah Sinar Kasih Ramadhan 1444H/2023M bagi menyampaikan sumbangan Sinar Kasih Ramadhan kepada dua keluarga terpilih di daerah Hulu Selangor. Dua keluarga ini merupakan sebahagian daripada 200 keluarga terpilih yang akan menerima sumbangan Sinar Kasih Ramadhan Yayasan Basmi Kemiskinan.
Pengerusi YBK, YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom telah bersama berziarah dan menyantuni dua keluarga miskin terpilih di daerah Hulu Selangor. Turut bersama dalam program ini adalah En. Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz (Pengurus Besar YBK), pegawai-pegawai kanan serta sukarelawan YBK.
YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom telah menyerahkan sumbangan Sinar Kasih Ramadhan daripada YBhg. Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan YBhg. Dato IR Hj Zainuddin Hj Mohd Radzi berupa wang tunai RM600 untuk keperluan berbuka dan bersahur sepanjang bulan Ramadhan kepada keluarga ini. Di samping itu, keluarga ini turut menerima Kotak Infaq Rezeki, kurma dan naskhah Al-Quran sumbangan daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), juga barangan daripada Dutch Lady Milk Industries Berhad.
Beliau melahirkan ucapan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang individu dan organisasi yang telah memberikan sumbangan untuk program Sinar Kasih Ramadhan tahun ini. Beliau memaklumkan penyerahan sumbangan telah berlangsung bermula 18 Mac 2023 yang lepas dan untuk fasa pertama, dijangka 100 keluarga terpilih akan menerima sumbangan ini dalam minggu ini menjelang bulan Ramadhan, dan bakinya akan disempurnakan pada fasa yang ke-2 semasa bulan Ramadhan nanti.