- Hit: 215
KAJANG, 5 Oktober 2022 - Kisah sebuah keluarga yang kehilangan 2 orang anak akibat renjatan elektrik di Kg. Teras Jernang, Kajang yang dilaporkan oleh media baru-baru ini telah menarik perhatian Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) untuk membantu menghulurkan bantuan.
Ziarah menyantuni keluarga ini telah dibuat hari ini di mana En. Zainal Mohd Jais, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK mewakili YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom (Pengerusi YBK) bersama-sama para pegawai YBK tiba di kediaman keluarga ini pada jam 3:30 petang.
En. Zainal telah menyampaikan salam daripada Dato' Pengerusi YBK kepada ibu dan bapa mangsa, dan menawarkan tempat di Asrama Kasih YBK untuk dua orang anak mereka.
YBK juga berhasrat membantu memeriksa pendawaian elektrik kediaman keluarga ini, di samping turut menyerahkan sekotak barangan keperluan dapur.
Ibu mangsa, Pn. Nusyakhila Hassan semasa ditemu ramah melahirkan ucapan terima kasih kepada YBK atas tawaran kemasukan ke Asrama Kasih dan berhasrat untuk menghantar salah seorang anaknya ke sana.
Turut hadir ziarah dari pihak YBK adalah Pn. Norleza Hambali (Pengurus Pendidikan YBK) Cik Rohaida Ismail (Akademi Kemahiran YBK), dan pegawai Jabatan Media YBK.
Selain YBK, keluarga ini turut diziarahi oleh guru-guru dari SK Bandar Baru Bangi dan Majlis Belia Daerah Hulu Langat, serta Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang turut menghulurkan sumbangan.