- Hit: 247
NILAI, 26 Julai 2022 - Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom hari ini telah menyampaikan ucaptama dalam Muzakarah Zakat Kebangsaan 2022 (MZK2022) yang diadakan di Nilai Springs Resort Hotel.
YBhg. Dato' Pengerusi YBK telah membentangkan tajuk "Zakat - Basmi Kemiskinan Bina Kesejahteraan (BKBK)". Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan institusi zakat untuk membasmi kemiskinan dan membina kesejahteraan golongan asnaf melalui program keusahawanan pengeluaran sumber makanan halal, sejajar dengan isu keselamatan makanan (food security) dan kekurangan sumber bekalan makanan asasi.
Projek Ternakan Ayam Kampung Kacuk merupakan contoh yang diberikan di mana projek yang dibangunkan YBK ini terbukti menghasilkan pendapatan kepada penternak yang terdiri daripada golongan asnaf terpilih, sekali gus mampu keluar daripada kemiskinan dan membina kesejahteraan ekonomi.
YBK juga menurut beliau sedia bekerjasama dengan agensi zakat dan pihak-pihak yang berminat untuk membangunkan rangkaian usahawan asnaf khususnya dalam pengeluaran hasil pertanian dan penternakan halal.
Mengakhiri ucapan, Dato' Pengerusi YBK mengajak hadirin untuk bersama-sama YBK membangunkan usahawan asnaf pembekal makanan halal yang menurutnya jika terlaksana, akan melahirkan masyarakat Islam yang sejahtera, memiliki sikap terpuji, menjadi pembekal dengan rangkaian kukuh, dan pemilikan harta masyarakat Islam bertambah.
Turut hadir dalam program ini adalah YBhg. Datin Dr. Hajah Hartini Osman (Penasihat Pentadbiran YBK) serta En. Zulhairy Jalaluddin dan En. Zainal Mohd Jais (ALPA YBK).
MZK2022 berlangsung selama 2 hari bermula hari ini (26 Julai 2022) dengan sesi pembentangan, ucaptama dan forum daripada tokoh-tokoh berkaliber dan pakar dalam zakat dan muamalah Islam.
YBK merupakan salah sebuah rakan kerjasama di samping penganjur utama, Institut Fatwa dan Halal Universiti Sains Islam Malaysia - USIM dan rakan-rakan kerjasama yang lain seperti Majlis Belia Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.