TELUK INTAN PERAK, 10 April 2022 - Mohd Firdhauz bin Mohamad Nor, 36 tahun merupakan seorang pesakit kanser prostat tahap 4. Beliau telah bertarung dengan kanser prostat selama 3 tahun dan kini sedang dalam proses kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur. Kanser Prostat ialah ketumbuhan berbahaya yang bermula dari dalam kelenjar lelaki.
Mohd Firdhauz dahulunya seorang peniaga ikan segar di waktu pagi dan malam pula meniaga kasut bundle di kawasan pekan Teluk Intan. Dengan pekerjaan itulah beliau menyara isteri dan 4 orang anaknya yang masih kecil. Isteri beliau bekerja sebagai Pembantu Awam di sebuah Klinik Desa berhampiran kediamannya dengan pendapatan dalam RM1100. Anak yang sulung berumur 9 tahun manakala adik-adiknya berumur 7,6 dan 5 tahun.
Mereka semua bersekolah di Sekolah Kebangsaan Dato Yahya Subban, Cenderong Balai, Perak. Kini mereka sekeluarga menetap di rumah pusaka keluarga Firdhauz.
Disebabkan penyakit kanser ini, beliau sudah tidak boleh bekerja seperti dahulu . Beliau bergantung hidup pada isteri, keluarga dan rakan-rakan untuk menampung kos perubatan dan membeli alat tempat pembuangan najis kecil dan besar. Buat masa ini, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat ada memberi bantuan pada keluarga ini sebanyak RM500 setiap bulan untuk meringankan beban Mohd Firdhauz.
Menerusi Program Sinar Kasih Ramadhan 2022, sumbangan wang tunai daripada Prihatin Ehsan Holding dan Kotak Infaq Rezeki daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah diserahkan oleh En. Mohd Rasidi Sapiai, karyawan YBK kepada En. Firdhauz di kediamannya.