- Hit: 465
SENTUL, 11 April 2021 - Suasana adalah sangat meriah dan menggalakkan di hari kedua merangkap hari terakhir Program Jualan Ikan Segar anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dan PukatCARE dengan kerjasama Bdn Amal Warga Asnaf (BAWA) dan Rukun Tetangga Taman Sentul Utama.
Program yang bermula pada jam 8 pagi mula 'diserbu' oleh pengunjung yang ingin mendapatkan ikan-ikan segar dengan harga yang menarik serendah RM3/kilo. Walaupun bilangan pengunjung agak ramai, pihak urusetia telah memastikan SOP PKPB dipatuhi dengan sepenuhnya sepanjang tempoh program berlangsung.
Turut hadir dalam program ini adalah Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Ayub (ALPA YBK, mewakili Dato' Haji Zainal Abidin Sakom - Pengerusi YBK), Datuk Amilludin Latip (Presiden BAWA), Puan Siti Hamimah Selamat (Pengerusi KRT Taman Sentul Utama), Tuan Azmi Mohd Ali (Pengasas PukatCARE), En. Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz (Pengurus Besar YBK), dan para sukarelawan dan pegawai daripada YBK, PukatCARE, BAWA dan KRT.
Pada hari ini juga telah berlangsung penyerahan sumbangan ikan segar kepada para penerima terpilih yang terdiri daripada asnaf Perumahan Awam Sentul Utama. Acara lelongan dan harga runtuh juga telah dijalankan pada jam-jam terakhir program dengan sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk setempat.
Secara keseluruhannya objektif program ini untuk 'berkongsi rezeki' melalui ikan-ikan segar yang murah dan mesra rakyat telah mencapai matlamatnya, dan YBK serta PukatCARE akan melaksanakan program ini di tempat yang lain di masa-masa akan datang demi manfaat semua.