Kali pertama bertemu Dato' Bing Selamat (DBS) ialah pada tahun 1971. Masa tu beliau sebagai Penolong Kanan kepada Guru Besar SRJK (Inggeris) Rawang. Saya melapor diri mengajar di sini. Dan pada waktu itu juga, kami sama-sama jadi murid silat Gayong berguru dengan Tan Sri Zainal Dahlan yang pada waktu itu Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Selangor Rawang dan dari situlah kami menjalin persahabatan.

Dan kemudiannya, pertemuan kedua bersama DBS membawa kepada perubahan demi perubahan dalam sisi hidup kami berdua.

Waktu itu, saya Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor yang juga merupakan Pengerusi YBK. YBK pada ketika itu, sedang giat dengan aktiviti Pendidikan, Asrama Kasih Serendah dan sudah mula mengambil pelajar. Pada waktu itu, YBK tidak ada pengalaman dalam bidang pendidikan. Maka saya menawarkan DBS bantu saya di YBK dalam hal-ehwal pendidikan.

Ketika itu, beliau baru bersara sebagai Penolong Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan. Beliau yang faham undang undang, ramai kenalan di kementerian, punya pengalaman luas dalam pentadbiran dan giat dalam sukan. DBS juga merupakan juruhebah Sukan di RTM pada waktu itu.

Mengepalai Bahagian Pendidikan, beliau berjaya melaksanakan projek FastTrack, iaitu memberi peluang kedua kepada pelajar yang tidak cemerlang keputusannya dalam SPM. Menempatkan mereka di kolej-kolej Lembah Klang sangat berat tugasnya, menyiapkan tempat tinggal , makan minum, aktiviti dan kebajikan pelajar. Pengambilan pertama lebih kurang 720 orang berjaya dapat diploma dan 300 darinya tamat ijazah di bidang masing masing syukur,Alhamdulilllah!

Program kedua menubuhkan kolej Komuniti YBK. Siap proposal, beliau berjaya tubuh 3 Kolej Komuniti di Banting, di Kajang, dan Gesir Tanjung Malim konsep “peluang kedua” beribu pelajar berjaya dicanai dan berjaya. Akhirnya kolej komuniti ini YBK serahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi ketika Allahyarham Datuk Dr Shafiei Salleh jadi Menterinya.

Konsep peluang kedua juga, YBK terapkan bersama UMW, PNB membangunkan Pusat Latihan kemahiran Kuala Selangor di bidang Jentera berat dan mekanik kereta.

Di Kg Gesir Tengah, YBK di anugerah oleh TNB lesen Pendawaian Elektrik yang kelulusannya diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga dan masih bergerak hingga sekarang. Pusat ini sudah berjasa kepada ratusan pelajar mahir.

Kelas Tuisyen Hujung Minggu yang dikenali dengan panggilan KUNTUM YBK bersama Jabatan Pelajaran Selangor dan GPMS berkolaborasi menjayakan kelas tuisyen hujung minggu. Hampir 25,000 murid berjaya lulus SPM melalui kelas ini bermula di Selangor akhirnya ke seluruh negara.

Untuk anak anak yatim dan miskin sekolah rendah dan menengah, YBK menempatkan mereka di Asrama Kasih Serendah dan Asrama Jambor Sakti Kg Gesir Tengah yang setiap tahun mengukir nama.

Pemergian beliau, amat dirasakan oleh semua warga YBK. Ini kerana, selaku salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah, tak pernah sekali pun dia gagal hadir mesyuarat. Sangat berdisiplin, tepati masa dan sangat komited kepada tugas yang diamanahkan.

Beliau kebanggaan YBK, Hero Selangor yang tak didendang, namun sejak 1995 hingga 2020, DBS sangat berjasa kepada YBK, kepada Generasi Selangor dan kepada Negeri Selangor Darul Ehsan dan Negara tercinta!

Kami yakin janji Allah dan Rasul itu benar!

Segala amal bakti yang telah dilakukannya akan menjadi saksi kehambaannya kepada Allah yg Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Ya Allah! Ya Rahman! Ya Rahim! 

Terimalah semua khidmat bakti kami karyawan YBK yang kerdil tidak sepertinya ini, khususnya kepada Almarhum Datuk Selamat bin Amer (Beng), terimalah Ibadahnya, amal ikhtiarnya menyemai benih ilmu yang bermunafaat buat generasi muda sehingga mereka dapat mencari rezeki dgn ilmu dan kemahiran mengeluarkan keluarga mereka dari kemiskinan dan dapat memanjangkan pula ilmu mereka kepada generasi yang akan datang.

Selamat Jalan Sahabat kami Dunia Akhirat, kami iringi dengan Al-Fatihah.

Semoga kita berjumpa di Jannah insya Allah.

Aamiin ya Rabbal Alamin.

DATO' HJ. ZAINAL ABIDIN BIN HAJI SAKOM 
Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan
Subuh 10 September 2020

Nota: Diambil daripada catatan asal di Facebook Dato' Hj. Zainal Abidin Sakom, boleh dibaca di sini.

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : +60 (3) 7875 0036
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;