- Hit: 933
LEMBAH SUBANG, 29 Ogos 2020 - Hari ini telah berlangsung sesi ke 2 Program Pure Heart anjuran Muslim Volunteer Malaysia - MVM dengan kerjasama Yayasan Basmi Kemiskinan, Yayasan Bina Kesejahteraan - YBCare dan Majlis Belia Malaysia. Sesi ke-2 ini diberi nama 'Power! Family' dengan penekanan kepada isu pengurusan kewangan keluarga.
Peserta yang terpilih telah hadir di Dewan Blok D PPR Lembah Subang dengan melalui proses pendaftaran dan saringan suhu badan. Program bermula pada jam 9 pagi dengan ceramah oleh Cik Noor Aziera Ezurien Abdul Aziz daripada Agensi Kaunselingย & Pengurusan Kredit (AKPK) berkenaan celik kewangan selama 1 jam. Ini disusuli dengan ucapan dan perkongsian ilmu oleh YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom, Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan berkenaan pengurusan kewangan keluarga.
Kemudian tetamu kehormat dan para peserta telah bersama-sama menyanyikan lagu 'Tanggal 31 Ogos' dan 'Jalur Gemilang' serta melaungkan 'Merdeka' untuk menzahirkan semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan yang bakal menjelang. Sesi disudahi dengan penyampaian 'Pek Rezeki' kepada para peserta.
Yayasan Basmi Kemiskinan dalam program ini turut menyerahkan sumbangan pek makanan tajaan daripada Mamee kepada peserta yang hadir.
Program Pure Heart ini akan dilaksanakan sebanyak 4 sesi dan sesi ke-3 akan berlangsung pada bulan September akan datang.