- Hit: 807
KELANA JAYA, 26 Mac 2020 – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) melalui inisiatif YBK Peduli telah menyantuni para petugas barisan hadapan yang bertugas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui sumbangan sarapan dan makan tengahari kepada mereka. Inisiatif ini digerakkan serentak di peringkat Ibu Pejabat dan outlet YBK (Asrama Kasih, Pusat Latihan YBK, dan Akademi Kemahiran YBK).
Di Kelana Jaya, karyawan Ibu Pejabat yang diketuai oleh En. Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz (Pengurus Besar YBK) dan Tn. Hj. Basharuddin Mohd Noor (Timbalan Pengurus Besar YBK) telah menyerahkan sumbangan makanan kepada petugas di Bank Islam Cawangan Kelana Jaya, Klinik Kesihatan Kelana Jaya dan Balai Polis Kelana Jaya. Sarapan pagi disediakan sendiri oleh YBK melalui program Dapur YBK dan diketuai oleh Puan Rozita Arbain, Pengurus Pentadbiran dan Kewangan.
Di Serendah, Pn. Halimaton Saadiah Mohd Nawawi, Pengetua Asrama Kasih YBK Serendah telah mengetuai penyerahan sumbangan makanan ke beberapa lokasi di mana para petugas barisan hadapan ditempatkan antaranya Klinik Kesihatan Serendah, Plaza Tol Bukit Beruntung, Plaza Tol Bukit Tagar dan Plaza Tol Lembah Beringin.
Di Kuala Selangor, Pusat Latihan YBK (PLYBK) yang diketuai oleh En. Zulkifli Zali selaku Pengurus, turut menyerahkan sumbangan makanan kepada petugas di Balai Polis Kuala Selangor.
Manakala di Gesir, Asrama Kasih YBK Gesir dan Akademi Kemahiran YBK Gesir (AKYBK) melalui Pn. Farahin Iszreen Ismail (Pengetua ASKA Gesir), Puan Norleza Hambali (Pengurus AKYBK) dan Ustaz Syaiful Akmal Addanan (Timbalan Pengetua ASKA Serendah) telah menyampaikan sumbangan makanan ke Klinik Kesihatan Gesir Tengah, Klinik Kesihatan Gedangsa serta Balai Polis Gedangsa.
YBK berharap sumbangan ini dapat memberi suntikan semangat kepada para petugas barisan hadapan yang komited berjuang demi negara. Sesungguhnya #AndaHeroKami.