- Hit: 1002
SEMENTA (KLANG), 5 Mei 2019 - Sempena Ramadhan Al-Mubarak yang bakal menjelang esok, Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mengadakan Ziarah Kasih Sinar Kasih Ramadhan 2019 yang diketuai oleh YBhg. Dato' Hj Zainal Abidin Sakom (Pengerusi YBK) dan YBhg. Datin Dr. Hjh. Hartini Osman (Pengerusi SKR 2019) bersama Encik Faridzul Azwan bin Mohd Kamaruddin (PK HEM SK Sementa) dan Encik Zamzuri bin Toha (Guru Unit Kebajikan SK Sementa) dan AJK PIBG SK Sementa. Ziarah kasih kali ini, telah melawat ke 4 buah rumah bagi menyampaikan sumbangan Sinar Kasih Ramadhan.
Penerima yang berkenaan adalah;
Puan Sarizah bt Darus menyara kehidupan beliau dan 4 anaknya yang masih bersekolah dengan menjadi pembantu di gerai makanan dengan pendapatan RM350 sebulan.
Kini, beliau tidak dapat bekerja kerana majikannya cuti bersalin. Anak-anak adalah sumber kekuatan bagi beliau, bilamana suami yang dicintai sedang menjalani hukuman akibat pertuduhan membunuh bersama 2 lagi saudara yang lain. Tohmahan dan hinaan orang kampung seakan sudah lali ditelinga anak-anak ini.
Keluarga ini boleh dihubungi di talian, Puan Sarizah Darus (010 233 7818).
Sumbangan Sinar Kasih Ramadhan oleh Dato’ Hj Ahmad Fuad bin Md Ali telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin bin Haji Sakom, Pengerusi YBK.
Puan Kamisah bekerja sebagai pembantu kantin di Sekolah Agama Perepat membantu suaminya, Encik Miswan Tugi yang mempunyai pendapatan yang tidak menentu hasil dari bekerja kampung. Kadang beliau turun ke laut menangkap ikan, andai tiada pekerjaan yang boleh diusahakan pada hari tersebut.
Tiada istilah ‘duduk saja’, baginya selagi ada kudrat, selagi itu beliau akan menyara kehidupan mereka sekeluarga. Mereka dikurniakan 9 orang anak yang 2 dari anaknya sudah berumah tangga dan tinggal berasingan, namun tidak dapat membantu. Yang lain masih menjadi tanggungan Encik Miswan dan Puan Kamisah dirumah tersebut.
Keluarga ini boleh dihubungi di talian, Encik Miswan bin Tugi (018 262 3105).
Sumbangan Sinar Kasih Ramadhan oleh Dato’ Hj Ahmad Fuad bin Md Ali telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin bin Haji Sakom, Pengerusi YBK.
Puan Norlaza bt Abd Rahman tidak bekerja kerana menjaga suami, Encik Ab Rani bin Muhammad yang disahkan mengidap penyakit gangguan mental. Pendapatan keluarga ini hanyalah bergantung kepada bantuan oleh pihak LZS sebanyak RM 650/sebulan.Pasangan ini mempunyai 5 orang anak yang semuanya masih bersekolah. Pada tahun ini, 2 orang anaknya akan menghadapi SPM, seorang akan mengambil PT 3 dan seorang lagi akan mengambil UPSR.
Keluarga ini boleh dihubungi di talian, Puan Norlaza Ab Rahman (016 287 6823).
Sumbangan Sinar Kasih Ramadhan oleh Dato’ Hj Ahmad Fuad bin Md Ali telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin bin Haji Sakom, Pengerusi YBK.
Puan Wahyuni Lubis, ibu 7 beranak ini hidup atas ihsan hamba Allah yang baik hati dengan menyewa rumah atas ‘loteng’ ini dengan sewa RM450 sebulan. Namun sejak berpindah baru sekali membayar sewa, itupun RM200 sahaja yang mampu.
Suami beliau bekerja sebagai buruh binaan di Pulau Pinang, dan hanya akan pulang ke rumah bila perlu sahaja sejak Januari yang lalu. Puan Wahyuni pula, tidak mampu keluar bekerja kerana 5 anaknya masih bersekolah di SK Sementa dan anak bongsunya berumur 2 tahun setengah. Duit yang dikirim oleh suami RM200 setiap bulan tidak cukup untuk menjamu makanan yang berzat untuk anak-anak. Menu nasi dan telur serta kicap sudah cukup mengalas perut anak-anaknya. Kadang kala, makanan yang ada adalah sumbangan dari pihak surau dan jiran. Hanya bekal nasi semalaman yang menemani anak-anaknya disekolah menggantikan wang poket yang selalunya tiada.
Keluarga ini boleh dihubungi di talian, Puan Sri Wahyuni Lubis (016 715 6141).
Sumbangan Sinar Kasih Ramadhan oleh Dato’ Hj Ahmad Fuad bin Md Ali telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin bin Haji Sakom, Pengerusi YBK.