- Hit: 1162
KELANA JAYA, 31 Mac 2019 - Pagi ini berlangsung Majlis Ramah Mesra Dato’ Pengerusi YBK bersama Jemaah Khairat Umrah : Destinasi Rohani di Rumah YBK Kelana Jaya.
Yayasan Basmi Kemiskinan untuk tahun ke-6 telah memilih 12 ‘aktivis masyarakat’ disamping 2 orang pegawai YBK yang telah lebih 10 tahun berkhidmat bagi menunaikan ibadah umrah. Individu yang terpilih adalah dari kalangan aktivis masyarakat yang menyantuni kerja-kerja amal seperti, menguruskan jenazah, siak masjid, penggali kubur dan sebagainya. Pencarian calon terpilih ini telah dimulakan seawal bulan Oktober 2018 dan cadangan calon-calon diterima dari sukarelawan YBK dan NGO yang menjadi rakan strategik YBK.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Tuan Pengurus Besar YBK, Encik Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz. Seterusnya taklimat tentang perjalanan ke Tanah Suci dan aturcara sepanjang 12 hari berada di bumi anbiya’ telah disampaikan oleh Tuan Haji Haris Abdol, Pengurus Tiram Travel Sdn. Bhd. Cawangan Shah Alam.
Sesi perkongsian oleh YBhg. Dato’ Hj Zainal Abidin Sakom, Pengerusi YBK mengajak semua Jemaah supaya sentiasa istighfar dalam masa masih berbaki 13 hari sebelum berangkat ke tanah suci. Sebaik-baik ‘pakaian’ adalah ‘Taqwa’ maka, rebutlah peluang sebanyak mungkin untuk beribadah dan jadikan peluang keemasan yang diberikan ini dimanfaatkan sebaiknya dalam mengejar umrah yang mabrur. Turut hadir di majlis tersebut, YBhg. Datin Dr. Hjh Hartini Osman, Group CEO Prihatin Ehsan Holdings Berhad.