- Hit: 1533
SERENDAH/KG. GESIR TENGAH, 1 Januari 2018 - Sesi Orientasi 2018 Asrama Kasih Yayasan Basmi Kemiskinan Serendah (ASKA Serendah) telah selamat disempurnakan oleh YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom, Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan pada jam 10 pagi tadi. Seramai 39 keluarga daripada 49 tawaran yang dikeluarkan telah hadir mendaftarkan anak-anak mereka pada hari itu.
YBhg. Dato' Pengerusi dalam ucapannya menerangkan mengenai perancangan pada masa akan datang menjadikan ASKA sebagai satu-satunya kampus akademi Seni Silat Gayong Malaysia yang pertama di Malaysia yang menawarkan peringkat sijil dan Diploma yang diiktiraf oleh World Academy of Martial Arts di bawah jurusan 'Philosophy and Science' (WAMAPS). Pandangan jauh Ybhg Dato' Zainal ini akan mengangkat satu lagi kejayaan transformasi mengubah persepsi masyarakat yang hanya melihat persilatan sebagai satu cara mempertahankan diri bahkan juga boleh dipelajari ilmu pengetahuan tersebut di bidang Akademik.
Sebelum majlis bersurai YBhg. Dato' Zainal telah menyampaikan beg sekolah serta fail orientasi kepada pelajar baru serta memakaikan tanda nama serta penyerahan sijil kepada barisan Pengawas Asrama Kasih YBK.
Sementara itu di Asrama Kasih YBK Gesir (ASKA Gesir), seramai 10 orang pelajar telah hadir mendaftar. Pengetua ASKA Gesir, Puan Farahin Iszreen bersama warden telah menguruskan sesi pendaftaran dan orientasi. Turut hadir, En. Zulhairy Jalaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif YBK. Daripada jumlah yang mendaftar, seorang merupakan pelajar tahun 3, 4 orang di tahun 4, 2 orang di tahun 5 dan 3 orang di tahun 6.
ASKA Gesir menempatkan pelajar sekolah rendah seawal usia 9 tahun hingga 12 tahun manakala ASKA Serendah untuk pelajar menengah (13 hingga 17 tahun).