- Hit: 1470
KUALA LUMPUR, 11 Jun 2017 - Semarak Ramadhan diteruskan dengan Majlis Iftar Jamiee anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan bersama dengan Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur. Majlis yang diadakan setiap tahun ini merupakan kali yang ke-4 dan berjaya menghimpunkan hampir 1,000 jemaah yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat pelbagai bangsa.
Majlis bermula pada jam 6:30 petang dengan tazkirah ringkas oleh dua orang personaliti iaitu Pengerusi YBK, Dato' Zainal Abidin Sakom dan Ustaz Mohd Hanafiah Abdul Malek, penceramah bebas. Perkara yang disentuh dalam tazkirah ini berkait dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak dan juga kupasan-kupasan berkenaan intipati 'amanah' dan 'kemiskinan' yang dihuraikan oleh Dato' Pengerusi YBK. Tazkirah berlangsung selama hampir 20 minit sehingga tiba waktu berbuka puasa.
Majlis diakhiri dengan jamuan berbuka puasa, solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah. Turut hadir dalam majlis ini, Dato' Bing Selamat Amir, ALPA YBK beserta isteri, para pegawai YBK, pegawai masjid dan para sukarelawan.