- Hit: 1518
Batang Kali, 25 Feb 2009 - YBK telah mengadakan satu perbincangan dengan penyelia dan wakil pusat dalam komuniti (PDK) sekitar Batang Kali dan ahli SUKARELAWAN YBK. Mesyuarat diadakan kerana YBK sedang merancang membangunkan sebuah pusat didikan kanak-kanak istimewa (PDKi) untuk memenuhi keperluan didikan lanjutan kanak-kanak istimewa seluruh Hulu Selangor. Disamping itu, PDKi juga akan menjadi tempat latihan pengajar (trainning of trainers) disamping latihan keibubapaan bagaimana menguruskan anak-anak mereka yang cacat dengan pendekatan dan teknik yang betul. PDKi ini juga mempunyai kemudahan pusat latihan kemahiran dan vokasional untuk memenuhi keperluan golongan istimewa yang dewasa, bagaimana mereka boleh berdikari dengan kemahiran hidup yang sesuai.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datin Hartini Osman, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK telah bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa pengurusan yang bertanggungjawab merangka keperluan tenaga dan sukatan pelajaran, metodologi dan alat bantuan mengajar yang terdiri dari pengerusi dan penyelia pusat-pusat dalam komuniti sekitar Hulu Selangor seperti PDK Batang Kali, PDK Sg Choh, PDK Kg Kuantan dan PDK Serendah. Jawatankuasa ini akan memperakukan kepada YBK keperluan latihan untuk golongan cacat yang sangat diperlukan pada masa sekarang dan tidak disediakan oleh PDK yang sedia ada.
Untuk itu, YBK sedang mendapatkan tanah yang sesuai sekitar Batang Kali sebagai lokasi untuk pembangunan pusat didikan kanak-kanak istimewa tersebut. Disamping itu YBK sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Kebajikan Daerah Hulu Selangor untuk membantu YBK membangunkan PDKi tersebut.