- Hit: 1437
SERENDAH, 23 & 24 September 2016 - Hari ini dan semalam telah berlangsung Program Motivasi di Asrama Kasih YBK Serendah khusus untuk para pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 5.
Hari pertama program bermula jam 3 petang hingga 4.30 petang dengan penyampaian motivasi oleh Pn. Shahada, kaunselor dari SMK Tun Perak Rawang yang bertajuk 'Menangani Stress Menjelang Peperiksaan'. Sebelah malamnya, slot bermula dari jam 8 malam hingga 11 malam. Pelajar dibahagikan kepada 2 kelas iaitu untuk PT3 dan SPM. Seramai 4 orang guru dari SMK Tun Perak Rawang telah hadir bagi membincangkan soalan-soalan Periksaan untuk PT3 Sains dan Bahasa Melayu manakala untuk SPM soalan-soalan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Keesokkan harinya, berlangsung perkongsian motivasi oleh YBhg. Datin Hjh. Hartini Osman, Ketua Pegawai Eksekutif YBK Usahasama Sdn. Bhd. merangkap Pengerusi Asrama Kasih YBK. Dalam ucapannya, beliau menyeru agar anak-anak sentiasa merancang masa hadapan yang cemerlang serta berani mengejar cita-cita dan impian untuk kehidupan yang lebih sejahtera. Kumpulan mahasiswa dari UPM seramai 24 orang turut terlibat menjayakan program motivasi ini. Mereka adalah pelajar Jurusan Sains dan sebahagiannya yang mengambil pengkhususan dalam Matematik dan Statistik. Sebanyak 3 bengkel disediakan untuk membantu dan membimbing anak-anak Asrama Kasih menjawab soalan-soalan peperiksaan Matematik dan Matematik Tambahan. Sebelah malamnya pula slot perkongsian motivasi 'Semangat Mendaki' bersama En. Zulhairy Jalaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif YBK, sekaligus menutup Program Motivasi Mendaki Puncak Kejayaan PT3 dan SPM Asrama Kasih YBK.
Program ini memberi kesan yang amat baik terutama anak-anak Asrama Kasih dalam memahami subjek-subjek kritikal seperti Matematik, Matematik Tambahan dan Bahasa Inggeris. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan dan mendapat sokongan modal bagi menaja anak-anak Asrama Kasih YBK.