- Hit: 1295
NEGERI SEMBILAN, 26 Jun 2016 - Sumbangan Sinar Kasih Ramadhan (SKR) diteruskan di Negeri Sembilan. Sebanyak lima (5) keluarga telah dikenal pasti untuk menerima sumbangan SKR untuk tahun ini. Keluarga yang menerima adalah;
Diduga dengan penyakit Vertigo (masalah keseimbangan badan yang berpunca dari telinga dan saraf), En Romli bin Wahab telah 3 tahun tidak membawa teksi yang menjadi punca pendapatan utama keluarga beliau. Menetap di Flat Taman Semarak 2,Nilai dengan bayaran RM380 sebulan, En Romli bersama isteri Pn Fauziah bt Ismail membesarkan 6 orang anak yang 5 darinya masih bersekolah. Pada 13 Julai 2016 bersama Sukarelawan di Nilai, YBK membawa sumbangan Sinar Kasih Ramadhan dari Dato’ Ahmad Muadzam Shah Yaakop bagi membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga ini.
Berasal dari Kelantan, Pn Siti Zaleha bt Ibrahim seorang ibu tunggal yang telah kematian suami pada awal tahun 2015 kini meneruskan hidup bersama 7 orang anak di Rumah Rakyat Ayer Hitam, Bahau, N.Sembilan. Dengan sedikit kemahiran menjahit beliau mengambil tempahan baju dari jiran terdekat dan dengan bantuan oleh JKM dan Baitulmal sebanyak RM 650 serta pencen SOCSO sebanyak RM520 yang ditinggal oleh arwah suami mereka meneruskan kehidupan. Rumah yang didiami pula telah disewa beli dengan kerajaan negeri dengan bayaran RM 162.00 sebulan. Prihatin dengan keadaan anak-anak cemerlang yang bersekolah di Sek Keb Air Hitam, Pn Kamisah (Pembantu Tadbir di SK Air Hitam) yang juga sukarelawan YBK telah mengajak YBK untuk memberi sumbangan Sinar Kasih Ramadhan kepada keluarga ini. Sumbangan telah diserah pada 26 Jun 2016.
Bekerja sebagai Tukang Kebun di Balai Polis, Air Hitam Bahau, En Ramli bin Musa menyara isteri Pn Rohana bt Hassan dan 7 orang anak yang 6 daripadanya masih bersekolah. Dengan pendapatan bersih sebanyak RM800 keluarga besar yang tinggal di PPRT Kg Pusat Air Hitam meneruskan kehidupan. Isteri beliau mengambil upah membuat bahulu secara kecil-kecilan sambil menguruskan urusan harian keluarga. Pada 26 Jun 2016, YBK bersama sukarelawan di Bahau telah menyampaikan sumbangan Sinar Kasih Ramadhan. Semoga sumbangan kecil ini dapat membantu keluarga ini membeli keperluan sepanjang Ramadhan.
En Mohd Seth Bin Mustapha dan Isteri Pn Norsidah bt Abd Rashid tinggal di Kg Baru Air Hitam bersama 3 orang anak dan 10 orang cucu yang 8 dari mereka masih bersekolah. Dengan pendapatan RM800 hasil dari pekerjaan sebagai tukang kebun sekolah, beliau menyara kesemua 14 ahli keluarga. Ibu bapa kepada cucu-cucu beliau kini menjalani hukuman penjara. Pn Norsidah pula membantu dengan menjual nasi lemak setiap pagi di depan rumah mereka. Sinar Kasih Ramadhan membawa sumbangan dari Dato Ahmad Muadzam Shah Yaakop bagi membantu meringankan beban keluarga ini.
Tinggal di rumah Ibu Mertua di Felda Palong 16, En Mohd Sokri Bin Abu Hassan dan isteri Rosmawati bt Rosdi membesarkan 10 orang anak yang 5 masih bersekolah manakala 3 orang anak berumur 15-17 tidak mahu menyambung persekolahan. Pendapatan adalah dari hasil mengambil upah menoreh getah di kebun orang sebanyak hanya RM600 sebulan mereka meneruskan kehidupan. En Sokri tidak mampu membuat banyak kerja lantaran kecederaan kaki yang dialami akibat kemalangan setahun yang lepas. Manakala isteri beliau menghidap astma yang agak serius dan memerlukan pengambilan ubat berterusan.