- Hit: 1753
SHAH ALAM, 30 Oktober 2015 - Selepas menerima penyertaan sebanyak 173 buah naskhah cerpen, hari ini telah berlangsung Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah Pertandingan Menulis Cerpen Kemiskinan YBK di Studio F, Kumpulan Media Karangkraf. Majlis ini bagi meraikan para pelajar yang telah menyertai pertandingan ini di samping menyampaikan hadiah kepada 23 penulis cerpen terbaik yang akan dibukukan dalam satu antologi. Sebanyak 60 buah sekolah dalam negeri Selangor telah menghantar penyertaan.
Majlis yang bermula pada jam 10 pagi dihadiri oleh tetamu kehormat antaranya YBhg. Dato' Zainal Abidin Sakom (Pengerusi YBK), YBhg. Dato' Abdul Jalil Ali (Penasihat Eksekutif Editorial Karangkraf), Puan Noriah Mohamed (wakil Jabatan Pendidikan Selangor), Prof. Emeritus Dato' Dr. Sulaiman Yassin dan Dato' Bing Selamat Amir (ALPA YBK). Turut hadir adalah wakil-wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru-guru pengiring dan para pelajar. Perasmian telah disempurnakan oleh Dato' Pengerusi YBK.
Wakil panel juri, Puan Sri Diah (Pengurus Besar Editorial Alaf 21) telah memberi ulasan berkenaan karya para pelajar sebelum acara penyampaian sijil penyertaan dilaksanakan. Acara kemuncak adalah penyampaian 20 hadiah saguhati dan Anugerah Pena Gangsa (Yasmin Raihana Mohd Yazid - SMK Seksyen 7 Shah Alam), Anugerah Pena Perak (Ros Wahidah Najwani Rusli - SMK Seksyen 4 Kota Damansara) dan Pena Emas (Aliya Nur Shakira Ghazali - SMK USJ 12 Subang Jaya).
Para pemenang saguhati menerima RM300 setiap seorang manakala Pena Gangsa (RM1,000), Pena Perak (RM2,000) dan Pena Emas (RM3,000). YBK mengucapkan terima kasih kepada para pelajar dan sekolah yang telah menyertai pertandingan ini dan diharap agar manfaat dan pengalaman yang dikutip dapat memberikan inspirasi kepada para pelajar untuk terus berkarya.