KELANA JAYA, 28 Mac 2025 – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dengan penuh rasa syukur dan bangga mengumumkan Program Sinar Kasih Ramadhan 2025, yang kini memasuki tahun ke-17, telah selesai dilaksanakan. Program tahunan ini terus menjadi wadah penting dalam usaha YBK membantu keluarga miskin tegar menghadapi cabaran ekonomi khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh barakah.

2. Program Sinar Kasih Ramadhan bertujuan untuk memberikan bantuan berbuka dan bersahur kepada keluarga yang berada dalam kategori miskin tegar. Kriteria penerima adalah keluarga dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM1,198 serta mempunyai tanggungan seramai lima orang atau lebih. Sejak mula dilaksanakan pada tahun 2008 hingga tahun 2024, sebanyak 3,999 keluarga telah menerima manfaat daripada program ini. Pada tahun 2025, YBK menyasarkan bantuan kepada 200 keluarga terpilih namun telah berjaya memberi manfaat kepada 250 keluarga, satu pencapaian yang amat membanggakan..

3. Bagi setiap keluarga penerima, bantuan yang disampaikan merangkumi sumbangan tunai sehingga RM600 bergantung kepada kriteria dan Kotak Makanan yang mengandungi barangan asas keperluan. Barangan ini disediakan melalui kerjasama erat antara YBK dan rakan strategik seperti Yayasan Food Bank Malaysia, Mamee-Double Decker Sdn. Bhd., Dutch Lady Food Industries Malaysia serta Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU Selangor). Sumbangan Kotak Makanan diagihkan berdasarkan senarai E-Kasih oleh ICU Selangor, manakala bantuan kepada keluarga penerima lain disalurkan melalui Yayasan Food Bank Malaysia.

4. Agihan bantuan bermula seminggu sebelum Ramadan dan selesai sepenuhnya pada pertengahan bulan. Proses penyerahan dilaksanakan secara langsung oleh kakitangan YBK bersama sukarelawan. Pendekatan ini bukan sahaja memastikan bantuan sampai tepat pada masa dan tempat, tetapi juga memberikan sentuhan mesra kepada keluarga penerima. Turut hadir dalam sesi serahan adalah Pengerusi Program Sinar Kasih Ramadhan, YBhg. Datin Dr. Hajah Hartini Osman, yang menyerahkan bantuan di daerah Hulu Selangor. Encik Ahmad Syukry Ibrahim, Pengarah Hal Ehwal Islam dan Perhubungan Kerajaan Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd., turut menyertai misi penyerahan bantuan kepada keluarga terpilih di Hulu Langat, membuktikan komitmen syarikat-syarikat korporat dalam menyokong usaha murni ini.

5. Kejayaan program ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan pelbagai pihak. YBK berbesar hati untuk mengucapkan terima kasih kepada para dermawan, rakan strategik, sukarelawan, serta organisasi yang telah bersama-sama menjayakan Program Sinar Kasih Ramadhan. Setiap sumbangan, sama ada dalam bentuk tunai, barangan, atau masa dan tenaga, adalah bukti keprihatinan masyarakat dalam membantu golongan yang memerlukan.

6. Selain memberikan bantuan material, program ini juga membawa mesej yang lebih besar iaitu memupuk semangat saling membantu dan menyemai kasih sayang sesama insan. Dengan kehadiran Ramadan, YBK percaya bahawa bantuan yang diberikan ini akan memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga miskin tegar dan menceriakan mereka sepanjang Ramadan serta menjelang Hari Raya Aidilfitri.

7. Melangkah ke masa hadapan, YBK komited untuk terus menjadi pemacu perubahan sosial demi membasmi kemiskinan di Malaysia. Kejayaan Program Sinar Kasih Ramadhan 2025 adalah tanda bahawa usaha bersama mampu memberikan impak yang besar. YBK berharap agar kerjasama dengan rakan strategik akan terus berkembang, dan lebih ramai keluarga akan dapat dibantu pada tahun-tahun yang akan datang.

Sekian.